Jalsah adalah program Jabatan Pengajian al-Quran dan al-Sunnah (JPQS), Fakulti Pengajian Islam, UKM yang memberi ruang kepada para pensyarah, pelajar Sarjana dan Doktor Falsafah JPQS untuk membentangkan isu-isu semasa berkaitan al-Quran, al-Hadith dan Qiraat.

User Login

AHLI JAWATAN KUASA JALSAH 2011

On Saturday, March 26, 2011


Ulasan Jalsah 21

Tajuk: Kepentingan Maqasid Syariah dalam Pelaksanaan Hukum
           berasaskan Siyasah Syar’iyyah
Pembentang: Ustaz Muhammad Nazir bin Alias ,
                      pensyarah di Jabatan Syariah , FPI, UKM

Alhamdulillah, Jalsah Ilmiyyah Quraniyyah (JIQ) kembali lagi untuk pembentangan kali ke 21 oleh Al-Fadhil Ustaz Muhammad Nazir bin Alias , pensyarah di Jabatan Syariah FPI,UKM. Pembentang membawakan tajuk Kepentingan Maqasid Syariah dalam Pelaksanaan Hukum berasaskan Siyasah Syar’iyyah.

Pada awal pembentangan, pembentang menyampaikan kalamnya berkenaan objektif tajuk yang mana menerangkan mengenai maksud dan sifat hukum Siyasah Syar’iyyah, menjelaskan mengenai maksud Maqasid Syariah dalam konteks Siyasah Syar’iyyah, membincangkan mengenai asas kepentingan Maqasid Syariah dalam perlaksanaan hukum dan seterusnya menerangkan mengenai dawabit perlaksanaan hukum dalam Siyasah Syar’iyyah berasaskan Maqasid Syariah.

Kemudiannya, pembentang memperincikan pengertian konsep Siyasah Syar’iyyah kepada pengertian menurut khallaf iaitu pengurusan hal ehwal umum negara Islam bagi menjaga kepentingan dan menjauhkan keburukan dengan tidak melampaui batasan-batasan syariah serta kaedah-kaedah umumnya. Perbezaan Hukum Siyasah Syar’iyyah dan Hukum Fiqh adalah Hukum Siyasah Syar’iyyah adalah berkaitan dengan kepentingan umum sedangkan Fiqh ialah hukum yang berkaitan dengan kepentingan individu. Sifat Hukum Siyasah adalah kurangnya dalil yang khusus terhadap sesuatu tindakan serta sesuatu tindakan berubah-ubah disebabkan perubahan keadaan masyarakat.


Tidak ketinggalan, pembentang mendefinisikan maksud Maqasid Syariah menurut pandangan ulama antaranya Muhammad al-Tahir bin Asyur, maqasid syariah ialah makna dan hikmah yang menjadi perhatian syarak dalam semua keadaan pensyariatan atau dalam sebahagian besar pensyariatannya. Di samping itu, menurut al-Raysuni pula, maqasid syariah ialah matlamat yang ditentukan oleh syarak untuk dicapai dalam pensyariatannya bagi memberi kebaikan kepada hambanya.

Seterusnya, pembentang membawakan dalil-dalil Al-Quran bagi pensyariatan Maqasid Syariah serta menghuraikan beberapa contoh atau kisah para sahabat Rasulullah s.a.w yang menjalankan perintah berdasarkan maqasid syariah. Pembentang menyatakan bahawa di sini jelas menunjukkan pelaksanaan maqasid syariah itu perlulah di ambil kira pelaksanaan hukumnya berdasarkan kepada beberapa aspek penting antaranya  perlaksanaan sesuatu hukum mestilah tidak mendatangkan mafsadah yang lebih besar dari maslahah yang ingin dicapai, perlaksanaan sesuatu hukum juga mestilah tidak menjejaskan lima objektif syariah yang utama iaitu agama, nyawa, keturunan, akal & harta dan hukum yang menyokong objektif syarak, mestilah mengikut keutamaan dalam objektif syariah. Selain itu, betapa pentingnya pembentang menegaskan bahawa kemaslahatan umum perlu diutamakan dari kemaslahatan golongan tertentu atau individu dan juga kemaslahatan yang berpanjangan perlu diutamakan dari keuntungan yang sementara.

Pembentangan ini diakhiri dengan kupasan menarik yang dikemukakan oleh pembentang kepada sidang pendengar yang hadir dalam Jalsah Ilmiyah Qur’aniyyah pada kali ini. Sidang pendengar bolehlah melihat kepada nota slide yang disediakan pembentang yang dilihat mampu menjelaskan lagi kefahaman kita berkenaan tajuk yang dibincangkan. Wallahualam.