Jalsah adalah program Jabatan Pengajian al-Quran dan al-Sunnah (JPQS), Fakulti Pengajian Islam, UKM yang memberi ruang kepada para pensyarah, pelajar Sarjana dan Doktor Falsafah JPQS untuk membentangkan isu-isu semasa berkaitan al-Quran, al-Hadith dan Qiraat.

User Login

AHLI JAWATAN KUASA JALSAH 2011

On Saturday, March 26, 2011

Ulasan Jalsah 20

Tajuk: Ancaman Inklusifisme Agama terhadap Akidah Islamiyyah dari perspektif
           al-Sunnah
Pembentang: Aizuddin Hakim Mohd Yusof ( pelajar MA Jabatan Usuluddin dan Falsafah)
Seterusnya Jalsah ke-20 kembali memanfaatkan petang Isnin mahasiswa mahasiswi FPI UKM dengan pembentangan ilmiah yang bertajuk  Ancaman Inklusifisme Agama terhadap Akidah Islamiyyah dari perspektif al-Sunnah. Pembentang memulakan ucapan alu-aluannya dengan pengenalan pengertian tamadun bagi manusia yakni ia meliputi pembinaan bandar-bandar hinggalah yang terpenting adalah tempat ibadat. Namun pembinaan tamadun manusia tidak lari dari  diikuti bersama sistem kepercayaan manusia yang mana mempunyai kecenderungan dan gesaan peribadi dalaman yang memerlukan kepada agama.

Reaksi manusia terhadap kepelbagaian agama di dunia cenderung untuk mengatakan bahawa agama yang dianuti sahaja yang benar sedangkan agama lain adalah sesat. Mereka ini turut memandang bahawa di luar agama yang dianuti turut terdapat kebenaran,  namun tidak sekuat kebenaran di dalam agama yang dianuti dan juga berpendirian bahawa semua agama dunia adalah benar dengan merujuk kepada hakikat bahawa setiap agama bersama-sama merujuk atau menuju kepada satu realiti suci atau tuhan yang sama melalui pelbagai cara dan perspektif.  

Pembentang turut berbahas dengan memberikan definisi Inklusifisme Agama yakni berkaitan kecenderungan pertama yang dikenal sebagai “eklusifisme”- majoriti penganut. Kecenderungan kedua dan ketiga dikenal “ Inklusifisme-pluralisme” - minoriti penganut. Akhirnya akan membentuk satu aliran pemikiran baru dalam agama yang dikenali sebagai ‘Inklusifisme Agama atau Pluralisme Agama’ fahaman ini dianuti oleh kelompok kecil  yang berfahaman liberal - wujud dalam mana-mana agama di dunia.                      Di dalam Islam, mereka yang berfahaman demikian lazimnya digelar atau mengelarkan diri sebagai kelompok “Islam Liberal”.            

Pembentang turut menjelaskan akan konsep inklusifisme-pluralisme agama merupakan suatu fahaman yang mengiktiraf kebenaran yang terkandung di dalam semua agama. Dalam hal ini, kebenaran yang ada dalam semua agama dianggap bersifat inklusif dan tiada agama yang paling benar sehingga menafikan kebenaran agama lain. Selain itu, menurut sebahagiannya fahaman ini juga  mengajarkan bahawa semua agama adalah sama dan kerananya kebenaran setiap agama adalah bersifat relatif. Selain itu, semua pemeluk agama didakwa akan masuk syurga kelak dan hidup berdampingan di dalam syurga.  Fahaman ini dikatakan dijadikan akidah (pegangan) pendukung  Islam Liberal terutama di Indonesia.
Pembentangan diteruskan lagi dengan penjelasan oleh pembentang tentang konsep fahaman Inklusifisme Agama yang berkembang dalam aliran liberal Islam terbahagi kepada dua kelompok, Epistimologi Inklusifisme Agama iaitu dalil utama yang dijadikan sandaran oleh golongan Islam Liberal dan juga justifikasi Al-Quran dan Al-Sunnah terhadap Inklusifisme agama. Selain itu, pembentang menerangkan faktor-faktor kemasukan fahaman inklusifisme – pluralisme agama di Malaysia, isu-isu inklusifisme-pluralisme di malaysia dan juga implikasi inklusifisme agama terhadap akidah umat islam.
Akhir pembentangan, pembentang menegaskan bahawa Inklusifisme Agama merupakan suatu fahaman yang sesat, yang wajar dijauhi dan diperangi.Pengaruh fahaman ini di Malaysia setakat ini, dilihat tidaklah begitu berjaya dan mendapat tempat dalam masyarakat. Ini kerana usaha untuk mempromosikan fahaman yang konsepkan inklusifisme agama ini, lazimnya diperangi oleh pihak-pihak yang berwajib berdasarkan kepada peruntukan perlembagaan yang sedia ada.


            Biarpun percubaan untuk menyebarkan fahaman ini diperingkat awal berjaya ditundukan, itu bukanlah bermakna bahawa usaha puak liberal di Malaysia ini telah terhenti. Oleh yang demikian, umat Islam perlulah bersedia, bersatu dan bersama mengembalikan semula nilai penghayatan agama yang berlandaskan ruh keislaman sebenar, iaitu berpaksikan kepada al-Quran dan al-Sunah, serta berkerjasama memerangi semua bentuk fahaman dan ideologisme yang tidak bertepatan dengan ajaran Islam hakiki, seperti fahaman inklusifisme agama ini.