Jalsah adalah program Jabatan Pengajian al-Quran dan al-Sunnah (JPQS), Fakulti Pengajian Islam, UKM yang memberi ruang kepada para pensyarah, pelajar Sarjana dan Doktor Falsafah JPQS untuk membentangkan isu-isu semasa berkaitan al-Quran, al-Hadith dan Qiraat.

User Login

AHLI JAWATAN KUASA JALSAH 2011

On Tuesday, March 15, 2011


Ulasan Jalsah 18

Tajuk: Perbezaan di antara Tariq al-Syatibi dan Tariq al-Jazari

Pembentang: Ustaz Muhammad Hafiz Bin Jamil
(Pensyarah di Jabatan Pengajian al-Quran & al-Sunnah, FPI, UKM)


Alhamdulillah, Jalsah ke-18 mengambil tempat dengan pembentangan kali ini yang diberikan oleh Ustaz Muhammad Hafiz Bin Jamil dengan tajuk Perbezaan di antara Tariq al-Syatibi dan Tariq al-Jazari.

Pembentang memberikan kata-kata aluan berkenaan kepentingan mengetahui disiplin dalam bacaan riwayat Hafs mengikut tariq al-Syatibiyy dan tariq al-Jazari perlunya untuk dikuasai oleh semua golongan pembaca al-Quran. Ia dianggap suatu kepincangan di dalam tilawah al-Quran jika kaedah-kaedah bacaannya tidak dapat diamalkan dengan sahih dan betul. Oleh itu, di dalam pembentangan beliau ini akan memperincikan lagi tentang kesemua kaedah bacaan agar tiada lagi kekeliruan dan kesilapan dalam bacaan al-Quran.

Pembentang juga turut membawakan pengertian kalimah tariq dan ayat-ayat Al-Quran mengikut kaedah bacaan Imam al-Syatibiyy dan Imam  al-Jazari bagi memudahkan kefahaman sidang pendengar. Perkataan tariq  membawa maksud apa yang disandarkan kepada “pembawa” daripada rawi. Bermula daripada “pembawa” dan ke bawah iaitu pembawa-pembawa seterusnya. Contohnya: Ithbat basmalah antara dua surah melalui tariq al-Asbahani daripada Warsy daripada ... Tidak ketinggalan juga pembentang turut membawa sidang pendengar meneliti pengenalan ringkas serta biografi kedua-dua tokoh Qurra’yang hebat ini.

Disamping itu, Pembentang turut menyatakan bahawa negara kita iaitu Malaysia dan kebanyakan negara-negara Islam lain membaca al-Quran mengikut riwayat Hafs daripada gurunya Imam ‘Asim tariq al-Syatibiyy. Justeru itu, umat Islam di Malaysia perlu peka terhadap beberapa disiplin riwayat Hafs iaitu hukum-hukum mengikut tariq al-Syatibiyyah. Semua ini bertujuan untuk menghindarkan percampuran yang menjadi keaiban di kalangan ahli Qurra’.

Pembentang mengakhiri pembentangan Jalsah 18 dengan kesimpulan yang begitu jelas bahawa penguasaan terhadap kaedah pembacaan Al-Quran dengan tepat dan sahih amat perlu dan dituntut dalam pengajian ilmu tajwid al-Quran. Sebarang salah faham di dalam hukum-hukum khas akan menjejaskan keindahan dan kemukjizatan bacaan al-Quran itu sendiri.