Jalsah adalah program Jabatan Pengajian al-Quran dan al-Sunnah (JPQS), Fakulti Pengajian Islam, UKM yang memberi ruang kepada para pensyarah, pelajar Sarjana dan Doktor Falsafah JPQS untuk membentangkan isu-isu semasa berkaitan al-Quran, al-Hadith dan Qiraat.

User Login

AHLI JAWATAN KUASA JALSAH 2011

On Saturday, August 21, 2010

INOVASI ILMU

Pembentang: Dr. Azwira Abd Aziz
Pensyarah Kanan di Jabatan Pengajian al-Quran & al-Sunnah, FPI, UKM

“Inovasi Ilmu” merupakan tajuk yang dipilih oleh Dr Azwira Bin Abd Aziz dalam pembentangannya pada Jalsah ke-14. Pembentang memulakan bicaranya dengan ucapan alu-aluan diikuti dengan mengajak hadirin yang hadir untuk merenung sejenak sepotong ayat al-Qur’an di dalam surah al-mujadalah 58: 11 dan menghayati kepentingan ilmu. Sebagaimana firman Allah SWT:


Kemudian diikuti dengan kupasan pengertian inovasi dari sudut bahasa dan istilah dari sudut bahasa Arab dan bahasa Melayu yang keseluruhannya membawa maksud pembaharuan. Seterusnya beliau menjelaskan hakikat ilmu menurut Imam Shafie yang mengatakan bahawa “ilmu adalah suatu yang bermanfaat dan bukan apa yang dihafal” dan manusia perlu kepada dua ilmu yang bermanfaat iaitu ilmu keagamaan dan ilmu keduniaan. Imam Shafie mentakrifkan ilmu keagamaan dengan ilmu halal dan haram sementara ilmu keduniaan pula ialah ilmu perubatan.

Di samping itu, Iman Shafie menyatakan bahawa manusia bebas berinovasi dalam perkara keduniaan selagimana perkara itu boleh memberi manfaat. Namun demikian, ianya berbeza dalam perkara keagamaan. Sesungguhnya manusia tidak bebas berinovasi dalam perkara keagamaan. Perkara keagamaan tersebut ialah perkara yang telah diamanahkan kepada Rasul untuk diajarkan kepada manusia yang merangkumi tentang akidah, syariat dan akhlak. Dalilnya terdapat daripada potongan hadis Rasulullah SAW yang bermaksud “sekiranya sesuatu perkara itu berkaitan dengan keduniaan kamu, maka terpulanglah kepada kamu untuk menyelesaikan sendiri, tetapi sekiranya berkaitan dengan perkara agama kamu, maka rujuklah kepadaku”. Pembentang juga menjelaskan syarat berinovasi dan garis panduannya dalam perkara agama menurut Imam Shafie iaitu mesti menepati al-Qur’an, al-Sunnah, al-Athar, Ijma’ dan prinsip syariat.

Bagi memberikan kefahaman kepada hadirin, pembentang telah mendatangkan satu contoh inovasi dalam perkara keduniaan yang berkaitan dengan prasarana kehidupan iaitu tentang sebuah kereta. Oleh kerana sebuah kereta itu tidak mempunyai kaitan dengan perkara keagamaan maka kereta tersebut boleh diubahsuai, diperbaharui dan sebagainya selagimana ia dapat memberi manfaat kepada kehidupan manusia. Manakala contoh yang diberikan dalam inovasi agama yang menepati garis panduan inovasi keagamaan ialah tentang pengumpulan al-Qur’an pada zaman Saidina Abu Bakar yang dicadangkan oleh cUmar al-Khattab. Walaupun pada peringkat awalnya ramai sahabat yang ragu-ragu untuk menerima cadangan Umar kerana takut untuk melakukan perkara bidcah dalam agama sedangkan perkara ini tidak bertentangan dengan garis panduan inovasi. Namun akhirnya, pengumpulan al-Qur’an dijalankan setelah meneliti kepentingan dan keperluan untuk mengumpulkan al-Qur’an pada zaman tersebut dan pengumpulan al-Qur’an tersebut memberi faedah yang besar kepada umat Islam pada hari ini.

Kemudian diikuti pula dengan contoh inovasi keagamaan dalam perkara berkaitan aqidah yang menyalahi garis panduan iaitu pemikiran Wahdah al-Wujud yang menyatakan tiga daripada alam manusia itu ialah apabila manusia bersatu dengan Allah sedangkan kenyataan ini tidak wujud dalam al-Qur’an, al-Sunnah, al-Athar, Ijma’ dan prinsip syariat dan bersalahan dengannya. Namun begitu, pemikiran ini semakin menular dalam masyarakat umat Islam pada hari ini sehingga sukar untuk dibanteras dan dimurnikan lagi.

Sebelum mengakhiri perbincangan, pembentang membuat kesimpulan dengan menyatakan bahawa kita tidak boleh sewenang-wenangnya berinovasi dalam perkara-perkara keagamaan tetapi berinovasi dalam perkara keduniaan adalah digalakkan. Namun, apabila inovasi keagamaan itu menepati garis panduan yang telah ditetapkan, maka tidak wujud lagi istilah bid'ah hasanah tetapi ianya adalah Sunnah. Hasanah pula bukanlah sesuatu yang diukur dengan logik akal semata-mata tetapi ianya diukur dengan berlandaskan kaedah syara'. Pesanan daripada pembentang juga ialah jangan mematikan semangat berinovasi terutama untuk memantapkan akidah umat Islam pada masa yang akan datang.

Berikut adalah rakaman audio Jalsah 14 (8/2010):