Jalsah adalah program Jabatan Pengajian al-Quran dan al-Sunnah (JPQS), Fakulti Pengajian Islam, UKM yang memberi ruang kepada para pensyarah, pelajar Sarjana dan Doktor Falsafah JPQS untuk membentangkan isu-isu semasa berkaitan al-Quran, al-Hadith dan Qiraat.

User Login

AHLI JAWATAN KUASA JALSAH 2011

On Thursday, January 20, 2011

Ulasan Jalsah 16

Tajuk: 
Kepentingan Intonasi kepada kalimah-kalimah Al-Quran
Pembentang: 
Ustaz Wan Hilmi Wan Abdullah
Pensyarah di Jabatan Pengajian al-Quran & al-Sunnah, FPI, UKM.

Alhamdulillah, Jalsah 16 membuka tirainya dengan pembentangan kali ini yang diberikan oleh Ustaz Wan Hilmi Wan Abdullah dengan tajuk Kepentingan Intonasi kepada kalimah-kalimah Al-Quran.

Pembentang memberikan kata-kata aluan berkenaan peri pentingnya setiap muslim mengetahui intonasi bacaan kepada kalimah-kalimah Al-Quran dengan baik. Pembentang menghuraikan pengertian Intonasi atau juga disebut sebagai intonation/التنغيم   dengan meninggi dan merendahkan suara dikala bertutur atau bercakap. Intonasi merupakan satu nilai pada zahir suara, yang menentukan kesudahan pertuturan pada keseluruhannya. Ia juga menunjukkan kepada had batasan maksud. Pemerhatian noktah sesuatu nada ataupun irama adalah kepada kesudahan jumlah-jumlah ayat (الجُمَل) dengan peranan fungsi Fawasil al-Sout (الفوَاصِل الصَّوتِية). Disamping itu, Intonasi juga memberi maksud مُوسِيقِي الكَلاَم  , iaitu gambarannya jelas dapat dilihat  dalam keadaan suara meninggi dan merendah ataupun kepelbagaian suara (تَلوِينَات الصَّوتِية). Malah intonasi menunjukkan sesuatu pertuturan itu sebagai nilai penghayatan yang dapat merumuskan maksud daripada kalam itu. Jika dilihat secara teliti, Intonasi memberikan penafsiran dan penjelasan terhadap makna-makna, membezakan noktah-noktah kalam dan satu-satu jumlah boleh menjadikannya makna yang berbagai-bagai.

Pembentang juga turut membawakan contoh-contoh kalimah dan ayat-ayat Al-Quran yang memudahkan kefahaman penonton dalam memahami maksud intonasi. Antara contoh-contoh itu ialah kalimah (يَا اِلهِي), boleh memberikan makna التَّحَسُّر (mengeluh), عدم الرِّضَا (tidak reda) atau الدَّهْشَة (mengejutkan) dalam keadaan hal-hal yang tertentu. Kalimah (يا ولَد) boleh memberikan erti النِّداء (seruan), التَّشجِيع (galakan) الغَضَب (kemarahan) dan lain-lain lagi mengikut intonasi yang berbagai-bagai.
Pada kalimah al-Quran pula,
Pertama:
 هَل أَتَى عَلى الإنسانِِ حِينٌ مِن الدَهرِ لم يكن شيئاً مذكوراً
surah al-Insan: 1,
ia jelas menerangkan maksud jumlah al-Istifhamiah yang terbina daripada konteks lafaz istifhamiah iaitu lafaz  هل.

 Kedua:
يا أيّها النّبيّ لمَ تحّرم ما أحَل الله لك، تبتغي مرضاة أزواجك
surah al-Tahrim: 1.
Ia berkemungkinan memberi makna al-Istifhamiah, walaupun dalam jumlah ini tidak didapati alat pertanyaan.

Kemudian, pembentang menghuraikan pula pembahagian intonasi kepada dua bahagian iaitu ia melihat kepada nisbah titik nokhtah kesudahan atau penghujungnya,
Pertama  النغمة الهابطة: Ia disifatkan dengan suara merendah, meskipun ianya terbentuk  atau   disusun daripada kepelbagaian juzuk-juzuk dalaman. Justeru, jumlah al-Taqririah sebagai contohnya, mempunyai intonasi yang khusus bagi menentukan penyempurnaan maksud pertuturan. Sebagai contoh seperti مُحمَّد فِي البَيت (muhammad di rumah). Ia menunjukkan suatu pengakuan bahawa muhammad itu benar-benar berada di rumah. Akan tetapi, jika berlaku kesilapan pada intonasi, maka maknanya akan berubah kepada makna yang lain dan tidak menunjukan suatu dalil kepada jumlah al-Taqririah yang dikehendaki.

Seterusnya, Kedua النغمة الصاعدة: iaitu disifatkan dengan suara menaik, sebagaimana halnya dengan jumlah al-Istifhamiah sebagai contoh yang menggunakan alat-alat pertanyaan atau persoalan seperti (  الهمزة), ( هل ) dan lain-lain. Contohnyaأَفَهَمْتَ  (adakah kamu faham?). Intonasi menaik menjadi dalil yang kuat bagi menunjukkan sesuatu petuturan tidak sempurna maknanya pada asalnya. Namun begitu, tidak disyaratkan bahawa jumlah al-Istifhamiah  perlu menggunakan alat-alat pertanyaan seperti mana lazimnya, seperti contoh firman allah SWT :

يأيها النبيّ لِمَ تُحَرِّمُ ما أحلَّ اللهُ لك , تَبتغِي مَرضَات أزواجِك

surah al-Tahrim: 1.
Akan tetapi penggunaan intonasi suara menaik pada jumlah ini adalah sangat memberi kesan dan juga terkesan kepada orang yang mendengarnya. Oleh itu, intonasi menaik merupakan dalil yang menunjukkan jumlah al-Istifhamiah. Justeru, maka di sinilah berlakunya kepentingan intonasi dalam menuturkan setiap jumlah-jumlah yang walaupun tidak terdapat alat-alat pertanyaan, namun tetap menunjukkan maksud jumlah al-Istifham.

Pembentang mengakhiri pembentangan Jalsah 16 dengan kesimpulan yang menarik bahawa Intonasi ataupun التنغيم sebenarnya memainkan peranan yang sangat penting dalam memahami setiap jumlah-jumlah ayat al-Quran yang dibaca. Kesilapan dalam intonasi boleh menyebabkan sesuatu pertuturan itu tidak akan dapat difahami maksudnya. Manakala fungsi suara menaik dan menurun tidak berfungsi dengan sepenuhnya menyebabkan bacaan al-Quran itu menjadi mendatar dan tidak menunjukkan berlakunya perbezaan maksud di antara jumlah-jumlah ayat tersebut.  Justeru, pentingnya kita mempelajari ilmu tersebut bagi memantapkan lagi kefahaman dan pemahaman isi kandungan al-Quran.