(Link)
On Tuesday, March 15, 2011
Ulasan Jalsah 19
Tajuk: Kedudukan Hadith-Hadith berkaitan bid’ah dalam Kutub al-Sittah
Pembentang: Ustaz Amran Abdul Halim (cuti belajar PHD UM dalam bidang hadith).
Jalsah seterusnya merupakan pembentangan yang ke-19, kembali lagi dengan memaparkan tajuk Kedudukan Hadith-Hadith berkaitan bid’ah dalam Kutub al-Sittah oleh Ustaz Amran Abdul Halim. Pembentangan pada kali ini lebih menjurus kepada takhrij hadith. Pembentang memulakan bicaranya dengan ucapan alu-aluan diikuti dengan memberikan definisi takhrij dari sudut bahasa iaitu al-zuhur (zahir) dan al-buruz (timbul) manakala dari sudut istilah ia membawa maksud menisbahkan sesuatu hadith kepada tokoh-tokoh ulama hadith yang mengeluarkan dan meriwayatkan hadith-hadith tersebut dalam karya mereka beserta hukumnya.
Matlamat bagi mempelajari ilmu takhrij adalah untuk mengenali punca sesuatu hadith sama ada ia diterima atau ditolak. Kepentingan dalam mendalami kaedah ilmu takhrij adalah bagi mengenali tokoh-tokoh ulama dan kitab-kitab asal mereka, menghimpunkan sanad-sanad hadith dan kedudukannya sama ada dalam sebuah kitab atau beberapa kitab hadith yang lain, mengenalpasti syahid hadith untuk menguatkan hadith yang dhoif, menentukan sesuatu yang samar dalam sanad / matan hadith, dapat mengenalpasti makna-makna bagi kalimah yang jarang digunakan / jarang didengar/ jarang digunakan daripada riwayat-riwayat lain, memperoleh untuk mengenalpasti riwayat-riwayat lain yang menafikan hukum syaz sesuatu hadith, mengenalpasti riwayat secara lafaz yang diriwayatkan oleh perawi lain serta mengenalpasti kesalahan cetakan pada sanad/matan (perbandingan riwayat). Ringkasnya faedah ilmu takhrij ini kembali kepada sanad dan matan, iaitu menghimpunkan seberapa banyak sanad atau turuq hadith, dan juga lafaz-lafaz matan hadith.
Pembentangan diteruskan lagi dengan penjelasan oleh pembentang tentang cara-cara mentakhrij contoh hadith-hadith berkaitan bid’ah dalam Kutub al-Sittah serta diberikan pula contoh-contoh hadith yang telah siap ditakhrij disusuli dengan nama pengarang, nama kitab, no. hadith, jilid, tempat terbitan dan halaman adalah penting untuk diketahui status hadith tersebut. Kemudian pembentang turut membawakan contoh-contoh hadith bid’ah yang terdapat dalam Kutub al-Sittah antaranya adalah seperti yang dinyatakan dibawah;
عَنْ عائشة قاَلَتْ: قَالَ رَسُوْلُ الله صلى الله عليه وسلم: مَنْ صَنَعَ أَمْرًا مِنْ غَيْرِ أَمْرِنَا فَهُوَ رَدُّ.
Maksudnya: “Daripada `A’isyah r.a. berkata: Rasul Allah s.a.w. bersabda: Sesiapa yang membuat sesuatu perkara yang tidak kami perintahkan maka ianya akan ditolak”.
عَنْ عَلِيِّ بن أبي طالب رضي الله عنه قَالَ: قَالَ رَسُوْلُ الله صلى الله عليه وسلم: المَدِيْنَة حَرَمٌ مَا بَيْنَ عَيْرٍ إِلَى ثَوْرٍ, مَنْ أَحْدَثَ فِيْهَا حَدَثًا أَوْ ءَاوَى مُحْدِثًا فَعَلَيْهِ لَعْنَةُ اللهِ وَالْمَلاَئِكَةِ وَالنَّاسِ أَجْمَعِيْنَ
Maksudnya : “Daripada `Ali Ibn Abu Talib r.a. berkata: Rasul Allah s.a.w. bersabda: Kota Madinah adalah dikira sebagai sebuah Tanah Haram diantara `Ayr hingga ke Thawr, sesiapa yang mengada-adakan sesuatu perkara yang baru padanya (iaitu dalam Tanah Haram Kota Madinah) ataupun menempatkan (menolong) orang yang mengada-adakan sesuatu perkara yang baru itu maka ia berhak mendapat laknat daripada Allah Ta`ala, dan juga laknat daripada seluruh para mala’ikat dan manusia”.
Kesimpulan yang dibuat oleh pembentang mengenai jumlah hadith yang berkaitan bid`ah yang ditemui beliau dalam Sunan al-Sittah ialah sebanyak dua puluh tujuh hadith. Walau bagaimana pun pembentang tidak menemui hadith-hadith tersebut dalam Sunan al-Nasa'i. Kesemua hadith-hadith tersebut adalah sahih, kecuali hadith yang diriwayatkan oleh al-Tirmidhi dalam Kitab al-`Ilm, nombor hadith 2818. Hukum hadith tersebut asalnya da`if, tetapi ada syahidnya iaitu hadith yang diriwayatkan oleh Jarir di dalam Sahih Muslim, dengan ini dapat mengangkat darjat hadith tersebut menjadi hasan lighayrih.
Pembentangan yang menarik ini diakhiri dengan beberapa soalan yang dikemukakan daripada sidang pendengar yang hadir dalam Jalsah Ilmiyah Qur’aniyyah kali ini. Wallahualam.
On
Tajuk: Perbezaan di antara Tariq al-Syatibi dan Tariq al-Jazari
Pembentang: Ustaz Muhammad Hafiz Bin Jamil
(Pensyarah di Jabatan Pengajian al-Quran & al-Sunnah, FPI, UKM)
Alhamdulillah, Jalsah ke-18 mengambil tempat dengan pembentangan kali ini yang diberikan oleh Ustaz Muhammad Hafiz Bin Jamil dengan tajuk Perbezaan di antara Tariq al-Syatibi dan Tariq al-Jazari.
Pembentang memberikan kata-kata aluan berkenaan kepentingan mengetahui disiplin dalam bacaan riwayat Hafs mengikut tariq al-Syatibiyy dan tariq al-Jazari perlunya untuk dikuasai oleh semua golongan pembaca al-Quran. Ia dianggap suatu kepincangan di dalam tilawah al-Quran jika kaedah-kaedah bacaannya tidak dapat diamalkan dengan sahih dan betul. Oleh itu, di dalam pembentangan beliau ini akan memperincikan lagi tentang kesemua kaedah bacaan agar tiada lagi kekeliruan dan kesilapan dalam bacaan al-Quran.
Pembentang juga turut membawakan pengertian kalimah tariq dan ayat-ayat Al-Quran mengikut kaedah bacaan Imam al-Syatibiyy dan Imam al-Jazari bagi memudahkan kefahaman sidang pendengar. Perkataan tariq membawa maksud apa yang disandarkan kepada “pembawa” daripada rawi. Bermula daripada “pembawa” dan ke bawah iaitu pembawa-pembawa seterusnya. Contohnya: Ithbat basmalah antara dua surah melalui tariq al-Asbahani daripada Warsy daripada ... Tidak ketinggalan juga pembentang turut membawa sidang pendengar meneliti pengenalan ringkas serta biografi kedua-dua tokoh Qurra’yang hebat ini.
Disamping itu, Pembentang turut menyatakan bahawa negara kita iaitu Malaysia dan kebanyakan negara-negara Islam lain membaca al-Quran mengikut riwayat Hafs daripada gurunya Imam ‘Asim tariq al-Syatibiyy. Justeru itu, umat Islam di Malaysia perlu peka terhadap beberapa disiplin riwayat Hafs iaitu hukum-hukum mengikut tariq al-Syatibiyyah. Semua ini bertujuan untuk menghindarkan percampuran yang menjadi keaiban di kalangan ahli Qurra’.
Pembentang mengakhiri pembentangan Jalsah 18 dengan kesimpulan yang begitu jelas bahawa penguasaan terhadap kaedah pembacaan Al-Quran dengan tepat dan sahih amat perlu dan dituntut dalam pengajian ilmu tajwid al-Quran. Sebarang salah faham di dalam hukum-hukum khas akan menjejaskan keindahan dan kemukjizatan bacaan al-Quran itu sendiri.
Subscribe to:
Posts (Atom)


